suria

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan lancar APU Smile Fest: Euphoria Expedition, program 3 hari tawar banyak aktiviti menarik

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (tengah), diiringi CEO APU Datuk Parmjit Singh (kiri) diberi penerangan tentang program APU Smile Fest: Euphoria Expedition ketika melawat bazar dan aktiviti interaktif di kampus APU, Khamis.

KAMPUS Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) nampaknya meriah pada hujung minggu ini dengan penganjuran festival APU Smile Fest: Euphoria Expedition.

Berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Oktober 2024 (Khamis-Sabtu), program yang diterajui oleh pelajar universiti ini turut terbuka kepada orang awam.

Paling membanggakan, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli merasmikan program ini pada Khamis, yang mengangkat tema Ekspedisi Menjuarai Kesihatan Mental, Kecergasan dan Kemampanan.

Seiring Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG3): Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, karnival ini memberi fokus kepada kesejahteraan mental, kecergasan fizikal dan menyokong kebajikan dan kemampanan haiwan dengan menampilkan satu siri aktiviti bertujuan menggalakkan kesihatan mental dan kecergasan fizikal.

photo_2024-10-03_17-03-49

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (kiri), diberi penerangan tentang APU Smile Fest: Euphoria Expedition oleh Presiden Kelab Operation Smile Ho See Hui (kanan) sambil disaksikan CEO APU Datuk Parmjit Singh (tengah) .

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APU, Datuk Parmjit Singh berkata, institusi ini percaya kepada impak penciptaan pengalaman yang melangkaui bidang akademik.

"Penglibatan aktif pelajar kami dalam inisiatif seperti APU Smile Fest menunjukkan komitmen mereka bukan sahaja untuk membina keperibadian tetapi juga memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

"Program ini mempamerkan semangat perkhidmatan dan kemampanan, yang merupakan teras kepada nilai universiti.

"Seluruh komuniti APU, pelajar dan kakitangan amat berterima kasih kepada Tengku Permaisuri Selangor kerana sudi menyerikan pelancaran program yang sangat bermakna ini. Semangat DYMM Tengku untuk memperjuangkan inisiatif penting sebegini merupakan inspirasi kepada kita semua," katanya ketika Majlis Perasmian APU Smile Fest: Euphoria Expedition, Khamis.

photo_2024-10-03_17-03-56

Datuk Parmjit Singh menyampaikan ucapan pada pelancaran APU Smile Fest: Euphoria Expedition.

Program ini juga begitu bermakna dan mencatat sejarah kepada APU kerana Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM30,000 bagi menyokong SPCA dan inisiatif lain yang berkaitan.

Untuk rekod, sokongan dan komitmen APU terhadap kebajikan dan kemampanan haiwan telah lama wujud.

ARTIKEL BERKAITAN : KPT pilih APU sebagai penyelaras Pusat Sukan Tumpuan untuk e-Sport

ARTIKEL BERKAITAN : Akta Kebajikan Haiwan Diperkenal - Tajuddin

Pelajar APU telah menjadi sukarelawan aktif untuk Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, di mana Tengku Permaisuri bertindak selaku Penaung Diraja.

Sejak 2016, kira-kira 700 pelajar APU telah menjadi sukarelawan di SPCA Selangor, yang mana mereka terlibat dalam aktiviti seperti penjagaan haiwan, pembersihan dan bertemu orang awam untuk memberi kesedaran tentang kepentingan usaha menyelamat haiwan terbiar.

Selama bertahun-tahun, pelajar APU telah mengumpulkan dan menderma wang tunai RM50,000 dan makanan haiwan untuk menyokong pusat perlindungan itu melalui pelbagai usaha mengumpul dana.

photo_2024-10-03_17-03-54

Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM30,000 yang diserahkan oleh Datuk Parmjit Singh kepada Pengerusi SPCA Selangor (kanan) Christine Chin bagi menyokong SPCA dan inisiatif lain yang berkaitan.

Orang ramai yang berminat oleh berkunjung ke acara ini yang berlangsung di kampus APU di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil yang mana terdapat bazar jualan dibuka pada dua hari pertama dan aktiviti interaktif.

Acara ini diakhiri dengan larian malam pada hari terakhir, menggalakkan peserta melibatkan diri dalam senaman fizikal sambil menyokong kesedaran kesihatan mental.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain