suria

Gaduh di Miri, balas dendam di Senai... 7 samseng pukul lelaki guna batang rotan gara-gara berebut tempat duduk

Video tular memaparkan seorang lelaki dibelasah tujuh individu.

TUJUH lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam insiden memukul seorang individu di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Kulai Johor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee, berkata suspek yang berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira pukul 8 malam Isnin sehingga 12.30 tengah malam hari Selasa.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada selisih faham tentang perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

"Kita berjaya membuat tangkapan selepas mengesan video dimuat naik pemilik akaun Facebook 'This Is Johor' pada pukul 9.15 malam Isnin yang memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng di tepi jalan dengan memukul seorang lelaki lain.

"Kita juga menerima laporan polis dibuat mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun selepas kejadian itu. Mangsa turut cedera ringan, luka calar dan bengkak.

"Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Polis turut merampas dua kenderaan iaitu Honda Accord dan Mazda 6 serta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang rotan ketika tangkapan suspek warga tempatan berkenaan dibuat.

"Semua suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini (Selasa) hingga Jumaat ini," jelasnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan lapan lelaki sedang memukul seorang lelaki lain dipercayai dengan kayu di tepi jalan.

Dalam video yang sama, kelihatan suspek menendang mangsa yang berbaju dan berseluar pendek warna hitam itu berkali-kali.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain