suria

Seri pengantin kembali hiasi Istana Abdulaziz... Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar berlangsung 3 hari

Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya bakal dinikahkan pada 24 Oktober ini. - Foto Facebook Kesultanan Pahang

ISTIADAT Perkahwinan Putera Diraja Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, majlis putera kedua Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja di Istana Abdulaziz.

Istiadat Letak Kerja dimulakan dengan doa selamat dan majlis tahlil dengan seterusnya Istiadat Bernikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (11 dari kanan) dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (10 dari kanan) bersama keluarga kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan di Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal di Taman Duta, Kuala Lumpur. - Foto Facebook Kesultanan Pahang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal di Taman Duta, Kuala Lumpur. - Foto Facebook Kesultanan Pahang

Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober ini di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.

Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober.

Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Puteri Afzan selamat bergelar isteri FD Idzham

Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan, Pahang.

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Muzium Diraja sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.

Istiadat Menutup Kerja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diadakan pada Isnin, 28 Oktober.

Untuk rekod, ia merupakan istiadat perkahwinan diraja kedua pada tahun ini selepas Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar pada Ogos lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain