suria

Tiga pembunuh jutawan kosmetik Sosilawati kekal ke tali gantung

N. Pathmanabhan (dua, kanan) dan T. Thilaiyalagan ketika prosiding pada 2017, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka kerana membunuh Sosilawati (gambar kecil) serta tiga pembantunya pada 2010. -Foto Bernama (2017)

MAHKAMAH Persekutuan pada Selasa mengekalkan hukuman mati terhadap bekas peguam dan pekerja ladang yang didapati bersalah kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di ladang di Banting, Selangor pada 2010.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak permohonan semakan hukuman mati bekas peguam N. Pathmanabhan, 54, dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 32, untuk mengetepikan hukuman gantung itu.

"Permohonan ditolak, hukuman gantung dikekalkan," kata Tengku Maimun.

Kedua-duanya memohon hukuman mati diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Sosilawati: Hukuman Mati Kekal Bagi Pembunuhan Paling Kejam

Sementara itu seorang lagi pemohon R Kathavarayan, 44, yang pada mulanya memfailkan permohonan semakan yang sama, menarik balik permohonan terbabit sekali gus hukuman mati terhadapnya itu kekal seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013 menjatuhkan hukuman mati terhadap semua perayu selepas mereka didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara jam 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Kathavarayan dan seorang lagi lelaki R Matan, 33; dikenakan hukuman gantung selepas rayuan mereka gagal di Mahkamah Rayuan.

Pada 16 Mac 2017, rayuan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan sekali lagi ditolak Mahkamah Persekutuan, sementara Matan pula bernasib baik apabila rayuannya dibenarkan kerana kekurangan bukti berhubung kes pembunuhan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain