suria

Bajet 2025: Harga minuman bergula bakal naik tahun depan

Penambilan minuman manis antara punca obesiti. Gambar hiasan

MASALAH kegemukan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila kini satu daripada dua individu dewasa di negara ini atau kira-kira 11 juta orang mengalami obesiti.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan.

Rekod itu turut mendorong kementerian untuk memandang serius pengambilan gula tinggi dalam kalangan rakyat berikutan ia menjadi punca kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk obesiti.

Dalam usaha menyokong gerakan War on Sugar, menerusi Belanjawan 2025 kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.

Anuar ketika ucapan Belanjawan 2025 Malaysia Madani.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Jumaat.

Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam.

Antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes, penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih ramai pesakit selain.

Selain itu, dalam usaha menyokong inisiatif berkaitan, Felda turut menambah baik pusat dialisis mereka.

Menerusi belanjawan sama, kerajaan turut menyediakan bajet berjumlah RM27 juta bagi menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat sekali gus merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

Pembentangan sama turut memperlihatkan kerajaan untuk memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan.

Antaranya meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain