suria

Tambah duit tunai dalam poket... Anwar umum STR naik kepada RM4,600

Kerajaan menaikkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun depan. -AZHAR MAHFOF/The Star

BERITA baik untuk rakyat apabila Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dinaikkan pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan terus komited untuk menangani kos sara hidup dengan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurut beliau, peningkatan itu terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.

"Peruntukan STR dan SARA meningkat sebanyak RM3 bilion iaitu daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion.

"Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat daripada RM3,700 kepada RM4,600," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, pada Jumaat.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, bagi kategori bujang pula akan menerima STR sebanyak RM600.

Pada tahun depan, jelasnya seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan.

"Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

"Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain