suria

Tiada projek mega, banyak pembangunan fokus kepentingan rakyat... 4 negeri pembangkang tak terkecuali

Pembangunan infrastruktur penting untuk manfaat rakyat. -Gambar hiasan

MENERUSI Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan berhasrat untuk memfokuskan kepada pembangunan terangkum.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan sekarang bukan masanya untuk melaksanakan projek mega.

"Pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri," ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

Berikut merupakan projek berkepentingan rakyat mengikut negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, turut tidak terkecuali adalah negeri ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Perak

- Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB).

- Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.

- Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely.

- Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

Pahang

- Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang.

- Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf Jalan Dari Bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang.

Johor

- Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap.

- Projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027.

- Projek Pembinaan Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.

Kelantan

- Projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang.

- Projek Pemanjangan Landasan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Melaka

- Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah.

- Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Perlis

- Projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong.

- Projek naik taraf Pos Kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian.

Selangor

- Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2.

- Pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia. Kerajaan turut akan melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.

Kedah

- Pembesaran Kulim Hi-Tech Park yang akan menempatkan syarikat semikonduktor seperti Infineon.

- Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.

Kuala Lumpur

- Membangun Rantau Warisan dengan membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah.

- Projek Lebuh Raya Laluan Istana – Kiara (LIKE) daripada Jalan Duta ke Jalan Istana

Negeri Sembilan

- Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol.

- Projek Naik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah.

Pulau Pinang

- Projek LRT Pulau Pinang.

- Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

- Projek Batu Kawan Industrial Park 3.

Terengganu

- Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus.

- Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark, Merchang.

- Projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain