suria

Jangan merungut, marah-marah lagi! PM janji servis di kaunter kerajaan lebih ‘tip top’... Tak payah beratur panjang, urusan cepat dan mudah

Orang ramai sedang berurusan di kaunter JPJ Padang Jawa, Shah Alam. -Gambar hiasan

BELANJAWAN 2025 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat turut memberi tumpuan kepada permasalahan serta kesulitan yang dihadapi rakyat terutamanya ketika berurusan dengan perkhidmatan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya memberi jaminan bahawa permasalahan berkenaan akan diatasi serta ditambah baik agar setiap urusan melibatkan perkhidmatan kerajaan dipercepatkan.

"Ada sesetengah kes terpaksa mengambil cuti untuk menyelesaikan permohonan. Adakala juga perlu beratur panjang untuk nombor giliran dan sekiranya habis, terpaksa datang pada hari lain.

"Ini belum lagi rakyat dibebankan dengan mengisi pelbagai borang untuk maklumat yang sama.

"Kerajaan Madani bertekad menoktahkan permasalahan ini. Iltizam kita supaya tiada lagi keperluan beratur panjang di pejabat kerajaan, proses permohonan diselesaikan secara dalam talian dan tujuan rakyat ke pejabat kerajaan hanya untuk mengambil dokumen yang dilulus atau diperbaharui sahaja dengan tarikh temu janji telah ditetapkan dalam talian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2025: Pembentangan ketiga Kerajaan Madani, ini manfaat rakyat bakal terima

Tambah Anwar, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan, adakalanya ia merumitkan rakyat untuk memohon kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan kriteria yang berbeza.

Justeru ujarnya, kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di UTC bagi membantu rakyat susah untuk memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.

"Urusan kerajaan melibatkan perniagaan juga perlu dinilai semula. Ini juga satu hal yang merumitkan. Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan dengan KWSP, Perkeso dan HRD Corp sedangkan maklumat pekerja adalah sama?

"Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Kerajaan bertegas untuk menelusuri hal ini," tambahnya.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan penambahbaikan perkhidmatan di kaunter-kaunter kerajaan, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mula menambah satu jam waktu operasi di kaunter.

"Semua UTC juga akan dibekalkan dengan Sistem Penggiliran (QMS) supaya rakyat mendapat nombor giliran secara dalam talian sebelum berurusan.

"Ikhtiar Kiosk Sentuhan Madani akan dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan kerajaan di kawasan tumpuan ramai.

"Sistem iPayment yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia sebagai platform bayaran tanpa tunai akan digunakan di semua kaunter Kerajaan bermula tahun 2025,"ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain