KISAH pemandu wanita yang dikatakan mempunyai masalah mental dan melanggar tiga pelajar Universiti Teknologi Mara Dungun di Terengganu (UiTM) hingga maut cukup membuatkan ramai tersentuh hati. Belum reda kisah tersebut diperkatakan, timbul pula cerita baharu seakan-akan sama apabila seorang pemandu wanita dipercayai mempunyai masalah mental mengganggu ketenteraman penduduk Saujana Utama, Sungai Buloh di Selangor. Menerusi satu hantaran di grup Saujana Utama, seorang pengguna yang bimbangkan keselamatan diri dan orang sekeliling merakam tindakan wanita itu yang berniqab dan berjubah hitam melakukan kekacauan di sebuah stesen minyak kawasan tersebut. Dalam video yang sama, wanita yang memantu kereta Toyota Vellfire itu dilihat mengeluarkan sebatang kayu sebelum dirampas oleh orang awam berada di situ. Seorang lelaki yang mengaku dirinya adalah suami kepada wanita berkenaan tampil memohon maaf atas apa yang berlaku dan dalam masa sama menafikan dia bersikap lepas tangan. "Salam semua, saya suami kepada Vellfire (pemandu) hitam. "Saya minta maaf segala perbuatan isteri saya. Bukan saya lepas tangan, terlalu banyak perubatan dah saya pergi. "Bab duit ni, dah tak terkira. Saya berniaga, isteri saya pun berniaga sekali," katanya di ruangan komen posting tular di Facebook. Tangkap layar video tular. Lelaki itu mendakwa, perkara ini sudah berlanjutan selama lebih empat tahun dan sudah beberapa kali isterinya dibawa pergi ke hospital untuk pemeriksaan. "Hospital pun dah pergi. Saya bawa sekali, dia pergi sendiri sekali, IPD (ibu pejabat polis daerah) bawa sekali tapi tak ada apa. "Kalau polis selalunya diaorang akan call saya ambil bawa balik. "Saya masih cuba lagi ikhtiar, sekali lagi saya jutaan minta maaf," katanya. Seorang wanita, dipercayai kenalan kepada suami wanita itu mendakwa individu berkenaan mempunyai masalah mental sejak empat tahun lalu menyebabkan keluarganya sering hidup berpindah randah. "Menurut suami dia, akak tu terkena perbuatan sihir sebelum PKP. Itu yang suami dia cakap akak tu sudah usaha untuk rawatan moden dan tradisional dan masih dalam proses rawatan. "Tapi banyak gagal. Suami dia juga ada sebut yang keluarga dia sudah banyak kali pindah randah sejak perkara ni jadi. "Suami dia ada mesej saya yang dia akan sekali lagi pindah keluar dari kawasan sini dengan segera dan mohon maaf atas semua yang berlaku," ujarnya menjelaskan situasi. Difahamkan, Polis Daerah Sungai Buloh kini melakukan siasatan terhadap kes gangguan dilakukan wanita itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Kanun Keseksaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube