suria

Kontraktor bersama anak saudara dituduh berpakat bunuh Sabari

Suspek kes bunuh Sabari dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra.

SEORANG kontraktor dan anak saudaranya yang bekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra, Kedah atas pertuduhan membunuh pesara kewangan Felcra, Sabari Baharom dalam kejadian pada September lalu.

Tertuduh, Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26, mengangguk faham apabila pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes mereka berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki terbabit didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap, Kubang Pasu, Kedah sekitar pukul 5.30 pagi pada 4 September lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun penjara dan sebatan minimum 12 kali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Januari 2025.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim; Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Rizal Fadzil serta Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Terdahulu, Sabari yang menetap bersendirian di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Balik, Kedah dilaporkan hilang pada 4 September.

Seterusnya kereta jenis Proton Waja yang dinaiki Sabari ditemukan hangus terbakar di Belantik, Sik, Kedah pada 20 September.

Polis seterusnya mengesahkan Sabari dicampak ke dalam sungai di titi Kampung Empa dengan keadaan tangan mangsa diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain