suria

Tragis! Warga emas temui ajal, kereta terbabas masuk longkang

Kemalangan ngeri di Jalan Kuching-Serian.

SEORANG lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit di Batu 18, Jalan Kuching-Serian, Sarawak pada awal pagi Khamis.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Lai Sze Ho, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 6.10 pagi dan pasukan penyelamat seramai enam anggota digegaskan ke lokasi kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan.

"Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati pemandu tersepit di tempat duduk kenderaan. Kami mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dengan menggunakan Rescue Tool and Appliance (RTA).

"Operasi menyelamat menghadapi cabaran berikutan paras air di dalam parit mencapai pinggang, menyukarkan untuk mendapatkan 'anchor stand' pada ram," ujar jurucakap menerusi satu kenyataan.

Prosedur mengeluarkan mangsa mengambil masa dua jam dan operasi selesai pada pukul 8.17 pagi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain