VIDEO memaparkan sebuah gerai nasi lemak di Dungun, Terengganu yang menawarkan lauk udang galah meraih perhatian netizen. Dalam video itu, seorang pelanggan sanggup membayar RM410 untuk membeli beberapa bungkus nasi lemak berlaukkan udang galah. Susulan itu, segelintir netizen menyelar tindakan peniaga itu yang didakwa menjual nasi lemak pada harga yang tidak masuk akal. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Ketika dihubungi mStar, pemilik Umi Nasi Lemak iaitu Juraida Mamad berkata dia peka dengan kecaman di media sosial, namun menganggap ia sebagai satu lumrah dalam perniagaan. "Saya dah lama ada TikTok. Jadi saya buat tak tahu saja komen-komen negatif itu. Saya tak putus semangat bila baca kecaman. Sebabnya 10 peratus saja kecam, 90 pratus lagi beri sokongan kepada saya. "Harga seekor lobster bergantung kepada saiz. Harga bermula RM70 hingga RM90 termasuk nasi lemak. Saya juga ada tawarkan 20 jenis lauk berbeza. Antaranya lamb shank, sotong dan udang. Ada juga pelanggan saya sebelum ini yang sanggup berbelanja sampai RM1,200. JURAIDA MAMAD "Ada juga lauk bilis goreng, bilis sambal, ikan tongkol, kepala ikan tongkol, kerang, telur mata, telur rebus, puyuh, telur sotong, telur ikan, ayam sambal dan macam-macam lagi," ujarnya yang dibantu tiga orang pekerja. Menurut Juraida, dia sebenarnya mula memperkenalkan lauk udang galah selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun video-video perniagaannya hanya tular sejak kebelakangan ini sehingga dia menerima pelbagai komen netizen di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Makcik sergah gadis jual nasi lemak, anggap sebungkus RM3 mahal! Dah diberi diskaun tolak pula - “Tak mahu, kau tidak ikhlas” ARTIKEL BERKAITAN: Kehadiran pakcik tak dikenali borong nasi lemak bunjut asbab rezeki mencurah, bisnes makin dikenali... 100 bungkus pun boleh habis! "Saya dah berniaga sembilan tahun. Dulu lauk biasa. Saya letak nasi lemak di kedai ibu saya saja. Lepas PKP baru saya saya jual nasi lemak lauk lobster dan lamb shank. Kini saya buka gerai tepi kedai mak saya. "Alhamdulillah, selain pelanggan dalam Terengganu, ada juga pelanggan saya dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. Mereka sanggup 'terbang' ke sini untuk cuba nasi lemak saya. "Pengalaman paling manis tentunya pada tahun ini apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin datang membeli di gerai saya. Baginda datang sendiri untuk tengok lauk-lauk di gerai saya. "Ada juga pelanggan saya sebelum ini yang sanggup berbelanja sampai RM1,200. Itu yang paling banyaklah," cerita Juraida. Juraida menawarkan 20 lauk di gerainya. Dalam pada itu, Juraida berkata dia dulu merupakan seorang akauntan, namun meninggalkan kerjaya itu demi memberi fokus kepada keluarganya. "Dulu saya kerja akauntan, dalam 12 tahun juga. Tapi saya berhenti kerja untuk jaga anak, susah nak cari pengasuh. Alhamdulillah, kini saya ada empat cahaya mata. "Saya sebagai orang yang dah biasa bekerja, bila jadi suri rumah, saya rasa bosan. Itulah yang menjadi titik tolak kepada perniagaan nasi lemak ini," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube