suria

Tragis! Pelajar tahfiz maut terkena renjatan elektrik ketika hujan lebat

Seorang pelajar maut terkena renjatan elektrik. -Gambar hiasan

MALANG tidak berbau, seorang pelajar maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah pusat tahfiz.

Insiden berlaku di Kampung Gong Penaga, Jabi di Besut, Terengganu, pada malam Selasa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad.

Memetik Sinar Harian, Abdul Rozak berkata, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, pelajar berkenaan, Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 17, dikatakan terkena renjatan elektrik ketika memegang mentol.

"Mangsa yang berasal dari Klang, Selangor ketika itu dikatakan mahu pergi membasuh tangan di singki ketika hujan lebat.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, (polis) mendapati pelajar lain telah mengangkat mangsa masuk ke dalam kereta," katanya dipetik sebagai berkata ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Abdul Rozak, mangsa dibawa ke Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube