suria

Nahas pelajar UiTM: Pemandu wanita sebabkan 3 kematian didakwa membunuh

Tertuduh (tengah) didakwa atas tiga pertuduhan di mahkamah. Foto Sinar Harian

PEMANDU wanita yang merempuh dua motosikal sehingga menyebabkan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada 9 Oktober lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun, pada Selasa.

Tertuduh, Norizan Ismail,49, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian tiga pelajar iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pantai berhadapan UiTM di Dungun, pukul 7.35 malam pada 9 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek rempuh pelajar UiTM tak pernah terima rawatan mental di Terengganu

ARTIKEL BERKAITAN: Suami suspek wanita rempuh pelajar UiTM mohon maaf kepada waris, dedah peribadi isterinya

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bharu dan menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah dan Nur AzhaniAzman, manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Dalam kejadian pada 7.35 malam, Rabu lalu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Kampus Dungun.

Mangsa yang cedera adalah Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain