suria

Ah Long salah serang rumah, silap simbah cat! Enggan bayar apa-apa... Suruh mangsa cari sendiri penghutang minta ganti rugi

Ah Long tersalah simbah cat dan meninggalkan nota meminta bayaran hutang.

ORANG lain yang hutang, orang lain yang kena tanggung azab!

Itu situasi yang dialami tujuh beranak apabila kediaman mereka di Ipoh, Perak disimbah cat merah oleh Ah Long.

Dalam kejadian pukul 2 pagi Rabu itu, Wan Zainab Wan Mamat, 37, dan suami yang keluar membeli makanan terkejut apabila dimaklumkan oleh anak bahawa rumah mereka didatangi sekumpulan lelaki yang kemudian menyimbah cat merah.

Keadaan rumah Wan Zainab selepas disimbah cat.

Keadaan rumah Wan Zainab selepas disimbah cat.

"Lima anak saya dalam ketakutan, bayangkan tiba-tiba orang datang simbah cat. Habis bahagian depan rumah termasuk kereta dan motosikal terkena cat.

"Bila kami sampai rumah tengok ada nota minta bayar hutang. Yang hutang tu lelaki Cina, yang kena simbah rumah kami," katanya ketika dihubungi mStar.

Wan Zainab berkata, dia menghubungi nombor Ah Long berkenaan bagi meminta penjelasan serta menuntut ganti rugi bagi kerugian yang ditanggung mereka sekeluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminjam tak bayar hutang, ah long ‘amuk’ simbah cat merah rumah jiran-jiran! Ugut bakar kediaman

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis pinjam 16 ah long nak bayar deposit rumah, merana kena ‘bunga’ RM1,000 sehari!

"Saya tanya kenapa simbah rumah kami, dia kata mereka bertindak berdasarkan alamat yang diberikan.

"Bila minta dia bayar ganti rugi, dia tak nak bayar sebaliknya dia suruh saya minta ganti rugi dengan orang yang berhutang dengannya," katanya sambil memaklumkan penghutang sebenar berhutang sebanyak SGD3,000 (kira-kira RM9,900).

Wanita yang tinggal di kediaman itu sejak empat tahun lalu berkata, Ah Long itu juga memberikan alamat penghutang berkenaan kepadanya.

Ah Long memberi maklumat penghutang (lelaki) dan alamat ibunya (perempuan) kepada Wan Zainab dan menyuruhnya meminta ganti rugi sendiri.

Ah Long memberi maklumat penghutang dan alamat ibunya kepada Wan Zainab dan menyuruhnya meminta ganti rugi sendiri.

"Dia suruh saya minta ganti rugi di alamat berkenaan. Saya dan suami dah pergi jaraknya hanya beberapa kilometer (km) sahaja dari rumah kami.

"Alamat rumah yang diberikan adalah kediaman ibu penghutang dan rumah itu turut disimbah cat," katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Saya tanya kenapa simbah rumah kami, dia kata mereka bertindak berdasarkan alamat yang diberikan.

WAN ZAINAB

Wan Zainab berkata kejadian itu juga menyebabkan mereka malu kerana terdapat jiran yang beranggapan mereka sekeluarga berhutang dengan Ah Long.

"Orang lain hutang, kami pula yang terpaksa tanggung malu. Saya harap lelaki berkenaan bertanggungjawab dengan kejadian ini.

"Kami sekeluarga dalam ketakutan, suami tidak tidur semalaman untuk berjaga kerana khuatir rumah kami akan diserang," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain