SUSPEK berusia 32 tahun yang dipercayai menikam dua beranak sehingga maut di hadapan lobi lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, Georgetown, Pulau Pinang pada Khamis ditahan untuk siasatan lanjut. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata, suspek yang ditahan bagaimanapun sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang ekoran kecederaan dialaminya. ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa lamaran ditolak, lelaki tikam wanita dan bapa hingga maut "Suspek mengalami kecederaan selepas bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri. "Dengan tertangkapnya suspek dan rampasan senjata yang digunakan untuk membunuh kedua-dua mangsa, kes ini sudah diselesaikan. "Kini, pihak polis sedang menyiasat motif suspek (bertindak sedemikian) dari pelbagai sudut dengan memohon saksi awam yang melihat kejadian itu secara jelas tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Hamzah berkata, terdahulu polis menerima panggilan pada pukul 12.54 tengah hari daripada orang awam yang melihat seorang individu membawa pisau dalam keadaan mencurigakan di sebuah pangsapuri. "Pemeriksaan di lokasi menjumpai tiga individu warga tempatan terbaring dalam keadaan berdarah di atas lantai yang mana dua daripada mereka adalah bapa berusia 62 tahun dan anak perempuannya berusia 30 tahun sudah disahkan meninggal dunia," katanya. Dalam pada itu, Hamzah meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan di media sosial sehingga menjejaskan siasatan pihak polis Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Terdahulu, mStar melaporkan seorang wanita dan bapanya maut ditikam di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam selepas suspek berusia 32 tahun dipercayai kecewa apabila lamarannya ditolak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube