suria

Pemandu kereta jumpa beg berisi duit RM1 juta di selekoh jalan

Seorang individu menjumpai beg berisi RM1 juta yang dilaporkan hilang pada Rabu. -Gambar hiasan

KES kehilangan beg berisi wang tunai berjumlah RM1 juta pada Rabu berjaya diselesaikan selepas ia dijumpai semula dan diserahkan kepada pihak polis pada hari sama.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, mengesahkan perkara itu selepas beg berkenaan dijumpai di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) arah ke ibu negara, tidak lama selepas kejadian.

Menurut Sasikala, beg berisi wang itu dipercayai terjatuh di atas jalan ketika van sebuah syarikat keselamatan yang bertanggungjawab melakukan proses kutipan dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang melalui satu laluan berselekoh.

"Beg berisi wang RM1 juta itu terjatuh di tengah jalan sebelum dijumpai seorang pemandu kereta yang melalui laluan berkenaan.

"Beg berkenaan sudah pun diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut kini dijalankan termasuk merakam keterangan individu yang menemui beg itu serta petugas van keselamatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Tambah Sasikala, siasatan polis masih di peringkat awal dan pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut tentang kejadian itu.

"Kita akan maklumkan sebarang perkembangan lanjut selepas siasatan selesai," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, berdasarkan maklumat yang tersebar, kejadian itu hanya diketahui selepas pemandu van keselamatan berkenaan menyedari pintu van terbuka.

Selepas membuat pemeriksaan, individu berkenaan mendapati satu beg berisi wang tunai sudah tiada dan dipercayai terjatuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain