suria

Cuba elak kucing melintas, pemandu rempuh suri rumah depan pintu... Mangsa cedera parah di kepala, kaki

Siasatan lanjut dibuat apabila polis menerima laporan atau aduan awam. -Gambar hiasan

GARA-GARA mengelak daripada melanggar seekor kucing melintas jalan, seorang pemandu wanita merempuh suri rumah berusia 37 tahun di Taman Sutera Wangi di Batu Berendam, Melaka, pada Rabu.

Dalam kejadian 11.41 malam itu, mangsa Yeo May Fong dipercayai sedang berdiri di luar rumahnya.

Rempuhan yang berlaku menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di kepala, kaki dan pinggul.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, pemandu kereta berusia 29 tahun itu menyatakan dia cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas jalan di kawasan perumahan tersebut.

Ujar beliau, wanita terbabit turut mendakwa tindakan yang dilakukan itu menyebabkan pemanduannya hilang kawalan sebelum merempuh mangsa dan sebuah lagi kereta yang diparkir berhampiran.

“Pemandu yang bekerja sebagai penyelia itu tinggal di taman perumahan yang sama manakala pemilik kereta lain yang berusia 37 tahun turut membuat laporan polis kerana kenderaannya mengalami kerosakan,” katanya pada Khamis.

Christopher berkata, kejadian itu kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa penjagaan dan perhatian yang sewajarnya atau tanpa pertimbangan munasabah untuk orang lain yang menggunakan jalan itu.

Mangsa dilaporkan telah menjalani pembedahan pada Rabu malam dan kini masih berada di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain