suria

Tekap seterika di dada junior, pegawai kadet UPNM mengaku tak bersalah

Pegawai kadet senior mengaku tidak bersalah, pada Jumaat.

PEGAWAI kadet senior Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan pelajar junior menggunakan seterika.

Pengakuan dibuat Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Egusra Ali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Saya mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada juniornya yang berusia 20 tahun, menggunakan seterika wap panas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai kadet UPNM ditanya pernah cuba seterika panas? Rupanya tiada unsur buli, hanya bergurau

ARTIKEL BERKAITAN: Seterika tekap dada pegawai kadet UPNM dirampas polis

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik asrama universiti berkenaan pada pukul 11.45 malam, dua minggu lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Polis telah merakam keterangan 16 individu membabitkan mangsa, suspek antaranya pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan sebelum ini.

Pada 22 Oktober lalu, seorang pegawai kadet UPNM ditekap seterika pada bahagian dada selepas dia diminta menggosok baju kerja milik seniornya, di bilik asrama universiti.

Amirul mengaku tidak bersalah mengakibatkan kecederaan kepada pelajar junior UPNM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata laporan berkaitan kejadian berkenaan kemudian dibuat oleh mangsa yang berusia 20 tahun.

Rakaman percakapan mangsa dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selain diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan dihadapi.

Pada Selasa, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati tidak berlakunya sebarang pergaduhan atau elemen dendam dalam kes itu.

Jelasnya, gurauan keterlaluan dipercayai menjadi motif di sebalik dakwaan insiden buli melibatkan seorang pegawai kadet UPNM.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain