suria

Jenazah Tun Daim selamat dikebumikan

Toh Puan Naimah memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham Tun Daim di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

JENAZAH Allahyarham Tun Daim Zainuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada petang, Rabu.

Suasana pengebumian bekas Menteri Kewangan itu berlangsung dalam keadaan cuaca redup dan dihadiri kira-kira 200 ahli keluarganya serta rakan.

Upaca pengebumian selesai kira-kira pukul 6.10 petang.

Terdahulu, jenazahnya dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta selepas Asar untuk disembahyangkan dengan solat jenazah diketuai Imam Besar Masjid Wilayah, Jamal Abdul Halim.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Daim meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: “Sepatutnya dia disanjung” - Mahathir sedih hilang sahabat baik, doa Daim diberi kebaikan di akhirat

Terdahulu antara pemimpin yang hadir di kediaman Allahyarham bagi memberi penghormatan terakhir adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Pemimpin pembangkang yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Untuk rekod Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, dan arwah memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Daim kembali menjadi Menteri Kewangan untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, juga di bawah Dr Mahathir untuk menangani isu-isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain