suria

“Sepatutnya dia disanjung” - Mahathir sedih hilang sahabat baik, doa Daim diberi kebaikan di akhirat

Tun M sedih menerima khabar pemergian Daim pada Rabu.

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa sedih atas pemergian Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada pagi Rabu.

Menerusi perkongsian di media sosial, Dr Mahathir menyifatkan bekas menteri kewangan itu sebagai sahabat yang sentiasa bersamanya dalam perjuangan negara.

"Daim meninggal dunia pagi ini. Saya kehilangan sahabat yang bersama saya berjuang untuk bangsa, negara dan agama," tulis Dr Mahathir pada pagi Rabu.

Dalam hantaran sama, Dr Mahathir berkata dia turut sedih mengenangkan layanan yang diterima Daim pada hujung usianya.

"Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan. Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Daim meninggal dunia

"Tanpa sebab! Kerana dendam. Inikah balasan yang menimpa kerana dendam. Ya Allah, adililah Daim berasas keadilan. Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa.

"Saya hanya mampu berdoa. Akan kita kembali di masa tertentu," tulisnya lagi.

Terdahulu, mStar melaporkan Daim, 86, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Ketika pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Daim pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali.

Daim pertama kali memegang jawatan itu pada tahun 1984 hingga 1991.

Daim kemudiannya kembali bergelar Menteri Kewangan pada 1999 hingga 2001.

Untuk rekod, Daim pada 29 Januari lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Selain Daim, isterinya, Toh Puan Na'imah Khalid turut dituduh pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Oktober lalu, Daim sepatutnya menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, namun gagal hadir kerana dimasukkan ke hospital Assunta di Petaling Jaya untuk mendapatkan rawatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan