suria

Kontena hempap kereta akibatkan wanita maut, pemandu treler ditahan

Seorang pemandu wanita maut selepas keretanya dihempap kontena yang terjatuh daripada treler.

PEMANDU treler yang mengakibatkan kontena dibawanya terbalik dan menghempap sebuah kereta sehingga seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pagi Rabu, ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pemandu treler berusia 51 tahun itu akan direman di Mahkamah Bukit Mertajam pada Khamis.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dia ditahan untuk siasatan. Ujian saringan awal dadah dan alkohol terhadap pemandu itu negatif," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontena jatuh treler, hempap pemandu wanita di simpang lampu isyarat

Mengulas mengenai insiden itu, kata Helmi, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lima kereta dan lori menunggu giliran untuk bergerak di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah.

"Bagaimanapun tiba-tiba sebuah treler dari Jalan Bukit Tengah membelok ke kiri, masuk ke Jalan Bukit Sireh dan hilang kawalan yang menyebabkan muatan kontena dibawa telah menghempap dua kenderaan yang sedang berhenti.

"Susulan daripada itu, seorang pemandu wanita maut di lokasi kejadian manakala seorang pemandu lelaki cedera dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan.

"Mereka boleh memberi keterangan atau hubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shahid Othman di talian 017-2670543 untuk membantu siasatan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain