suria

Projek PoP dipergiat... Komitmen kerajaan galak penerimagunaan teknologi digital, dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat

Infrastruktur telekomunikasi dimanfaatkan oleh rakyat untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti.

SEIRING era digital ini, kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik merupakan aspek penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh negara, termasuk masyarakat luar bandar.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi akses kepada maklumat dan pengetahuan secara global, malah membuka peluang kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan peningkatan kualiti hidup secara menyeluruh.

Selain itu, kualiti sambungan internet yang tinggi juga menjadi kunci dalam memastikan pengguna dapat menikmati kelancaran penggunaan teknologi digital.

Bagi memastikan capaian internet yang stabil dan boleh diakses, pelaburan dalam infrastruktur digital yang lestari seperti kabel gentian optik dan menara komunikasi yang cekap tenaga diperlukan.

Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bertanggungjawab untuk mencapai sasaran liputan Internet 100 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2025.

Bagi kawasan luar bandar dan pedalaman, infrastruktur dan perkhidmatan komunikasi asas disediakan melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP Fund).

Fahmi berpendapat bahawa inisiatif PoP adalah antara komitmen kerajaan menggalakkan penerimagunaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berpendapat bahawa inisiatif PoP adalah antara komitmen kerajaan menggalakkan penerimagunaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, inisiatif rangkaian hab gentian optik Point of Presence (PoP) di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dilaksanakan untuk memastikan kesalinghubungan digital menyeluruh dapat dicapai.

Sehingga 31 Ogos 2024, kemajuan JENDELA di seluruh negara merekodkan 8.82 juta premis telah dilengkapi dengan capaian gentian optik, kelajuan median jalur lebar mudah alih mencapai 106.94 Mbps dan kadar liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk mencapai 97.28 peratus.

Kementerian Komunikasi melaksanakan inisiatif ini dalam usaha meningkatkan ekonomi digital di luar bandar dengan penyediaan capaian Internet yang stabil, berkualiti dan menyeluruh agar memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menjalankan pelbagai urusan termasuk perniagaan dalam talian.

Menurut kementerian itu, capaian direkodkan sejajar dengan objektif utama Projek PoP untuk memperluaskan capaian Internet melalui rangkaian gentian optik ke kawasan sekitar sekolah, kediaman dan premis perniagaan dalam radius 2.5 hingga 3 kilometer bagi setiap sekolah.

Dengan inisiatif itu juga, penduduk di kawasan tersebut boleh menikmati perkhidmatan Internet talian tetap di rumah, yang lebih stabil berbanding Internet mudah alih.

Fahmi (tengah) meninjau tapak projek PoP Zon Sabah.

Fahmi (tengah) meninjau tapak projek PoP Zon Sabah.

Projek PoP mensasarkan golongan pelajar dan pendidik, pekerja industri, penjawat awam di premis kerajaan, dan komuniti sekitar.

Melalui projek tersebut, sekolah dijadikan hab untuk menyediakan capaian jalur lebar gentian optik yang bukan hanya untuk sekolah, tetapi juga bagi kawasan perindustrian dan premis kerajaan berhampiran serta masyarakat sekitar.

Projek PoP ini memberikan impak positif kepada negara, terutamanya di kawasan luar bandar.

Kehadiran projek berkenaan juga disasarkan dapat memperluaskan jaringan dan liputan Internet di kawasan sekitar sekolah, sekaligus membolehkan perkhidmatan Internet talian tetap yang lebih stabil untuk kediaman dan premis di kawasan tersebut.

Selain itu, ia juga membantu meningkatkan proses pembelajaran di sekolah melalui capaian maklumat yang luas, membolehkan perkongsian ilmu pengetahuan secara lebih efektif.

Projek yang dikendalikan itu juga secara tidak langsung menyokong pertumbuhan ekonomi digital di luar bandar, sekali gus membolehkan masyarakat menjalankan perniagaan dalam talian dari rumah.

Kelajuan perkhidmatan internet disediakan untuk manfaat komuniti termasuk komuniti luar bandar

Kelajuan perkhidmatan internet disediakan untuk manfaat komuniti termasuk komuniti luar bandar.

Dalam pada itu, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Perkembangan positif itu selaras dengan inisiatif JENDELA yang berhasrat untuk menyediakan capaian gentian optik di kawasan perumahan, perindustrian dan sektor ekonomi lain.

Pelaksanaan dan pencapaian Projek PoP dilaksanakan dalam dua fasa iaitu bagi Fasa 1 (2021 – 2027), peruntukan berjumlah RM700 juta disediakan bagi tempoh pemasangan pada 2021 hingga 2022 dan tempoh penyelenggaraan bermula 2022 hingga 2027. Status bagi fasa ini adalah siap sepenuhnya.

Fasa 2 pula bermula pada 2022 hingga 2030 dengan peruntukan RM3.9 bilion. Tempoh pemasangan adalah dari 2022 hingga 2025, manakala tempoh penyelenggaraan bermula dari 2025 hingga 2030. Status direkodkan adalah sedang dalam pelaksanaan.

Setakat 30 September 2024, sebanyak 596 PoP sudah disiapkan, menjadikan jumlah keseluruhan PoP sebanyak 1,463 sejak 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain