PEMANDU treler yang mengakibatkan kontena dibawanya terbalik dan menghempap sebuah kereta sehingga seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pagi Rabu, direman empat hari. Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan membenarkan reman terhadap lelaki tempatan berusia 51 tahun itu bermula Khamis sehingga Ahad. Reman tersebut bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam kejadian 9.15 pagi Rabu, wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian, manakala lelaki berusia 25 tahun cedera dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM). ARTIKEL BERKAITAN: Kontena hempap kereta akibatkan wanita maut, pemandu treler ditahan ARTIKEL BERKAITAN: Kontena jatuh treler, hempap pemandu wanita di simpang lampu isyarat Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dalam kenyataan, suspek berkenaan ditahan pada Rabu bagi membantu siasatan. Mengulas mengenai insiden itu, katanya, kemalangan berlaku ketika lima kereta dan lori menunggu giliran untuk bergerak di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah. "Bagaimanapun tiba-tiba sebuah treler dari Jalan Bukit Tengah membelok ke kiri, masuk ke Jalan Bukit Sireh dan hilang kawalan yang menyebabkan muatan kontena dibawa telah menghempap dua kenderaan yang sedang berhenti. "Susulan daripada itu, seorang pemandu wanita maut di lokasi kejadian manakala seorang pemandu lelaki cedera dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut," ujar Helmi dalam kenyataan pada Rabu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube