AJARAN, pegangan, dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dari Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Perkara itu diputuskan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) melalui Jawatankuasa Muzakarahnya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Nooh Gadut, keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung 24 hingga 26 September lalu. Nooh berkata, antara fahaman menyeleweng yang dianuti oleh kumpulan itu termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi, manakala pengasas al-Arqam, Asaari Muhammad, pula dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman dan dakwaan bahawa Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya. "Semua orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman berkenaan dan dilarang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya. "Mereka yang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran berkenaan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Sudah taubat, GISBH tak ikut amalan sesat Al-Arqam - Anak Ashaari Muhammad Nooh memberitahu, penyelewengan itu termasuk menganggap air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman rambut atau janggut pemimpin mempunyai berkat, mengamalkan sistem ekonomi ma'ash yang mempunyai unsur perhambaan. "Yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah, dan amalan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat," ujar beliau. Nooh turut menegaskan bahawa sebarang bahan terbitan media cetak atau elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran Nasiruddin dan GISBH adalah dilarang. Jelasnya, larangan tersebut merangkumi bahan yang dicetak, ditaip atau ditulis, serta semua jenis keluaran dalam apa-apa bentuk keluaran serta ulangannya, termasuk filem, audio visual, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik. Sementara itu, Nooh memaklumkan jawatankuasa itu juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan bersesuaian bagi tujuan tersebut. Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267 pada 23 hingga 24 Oktober lalu. "Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube