SYARIKAT kurier, GD Express Sdn Bhd (GDEX) tampil memohon maaf susulan insiden pemandu van syarikatnya dikesan terbabit dalam kes melanggar seekor anjing liar di Taman Seri Bunut, Banting, dalam kejadian 6 November lalu. Dalam kenyataan rasminya, GDEX memaklumkan pemandu berkenaan telah digantung tugas dan dikenakan tindakan disiplin. "Pada 6 November lalu, seorang pemandu van GDEX telah melanggar seekor anjing liar yang sedang baring di atas jalan di Jalan Bunut 6, Taman Seri Bunut, di Banting, Selangor. "Ia adalah satu kemalangan yang amat kami kesali dan kami memohon maaf atas kejadian malang itu. "Pihak pengurusan telah menggantung tugas pemandu yang berkenaan dan akan mengambil tindakan tatatertib selanjutnya," katanya dalam kenyataan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Pemain badminton profesional pukul anjing di balkoni mengaku salah, didenda RM25,000 Syarikat kurier itu juga memberi jaminan untuk mempertingkatkan prosedur dan protokol keselamatannya. "Kami mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah mengetengahkan isu ini untuk perhatian kami dan kami akan melakukan apa yang perlu untuk mengelakkan kejadian seperti itu pada masa akan datang," katanya. Terdahulu, rakaman memaparkan seekor anjing yang sedang berbaring di tengah jalan dilanggar oleh sebuah van kurier milik GDEX, menjadi tular di laman sosial. Dalam rakaman tersebut juga, haiwan berkenaan dilihat melarikan diri dalam keadaan terlompat-lompat sebelum rebah. Insiden itu ternyata menimbulkan kemarahan warga maya yang menyifatkan pemandu van berkenaan sebagai tidak berhati perut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube