SEORANG pelajar lelaki sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana dipercayai menjual kandungan melibatkan video lucah yang menampilkan adegan membabitkan dirinya sendiri di platform X. Menerusi satu kenyataan pada Khamis, MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan suspek bagi membantu siasatan, selepas kegiatannya berjaya dibongkar hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan berdasarkan aduan awam. "Siasatan awal MCMC mendapati, kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan beliau memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama. "Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali, sehingga memperoleh sehingga lebih 100,000 pengikut di platform X. "Suspek menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap satu video," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Hot Daddy tak hadir prosiding, tak jawab panggilan peguam... Mahkamah keluar waran tangkap Tambahnya, hasil pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, pasukan penguatkuasaan MCMC menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut, bagi membantu siasatan. "Turut diambil keterangan adalah rakan suspek, seorang wanita yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)," demikian menurut kenyataan itu. Sebagai makluman, tindakan menjual video lucah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dan sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali. "Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah digesa untuk melaporkan sebarang kegiatan menyebar dan menjual kandungan lucah di mana-mana platform media sosial kepada MCMC untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube