suria

“Mummy! Sakit sangat!” - Pemandu dihempap kontena sempat telefon ibu 4 minit sebelum meninggal

Ibu mangsa tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual. -Foto China Press (kanan)

PEMANDU wanita yang keretanya dihempap kontena selepas terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian pada pagi Rabu, sempat membuat panggilan kepada ibunya sebelum meninggal dunia.

Perkara tersebut dikongsikan oleh ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Lim, ketika ditemubual China Press.

Memetik laporan akhbar tersebut, Lim, 42, mendengar suara anak perempuannya, Lee Zi Rou, 21, yang mengerang kesakitan.

"Mummy! Sakit sangat!" kata Lim, mengimbas kembali ungkapan terakhir anaknya.

Lim berkata, dia kemudian terus bertanya kepada Zi Rou mengenai keberadaannya namun pertanyaan tersebut sepi tanpa jawapan.

"Saya dapat rasakan dia telah meninggal dunia," kata Lim.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi Rabu, Zi Rou yang bersendirian memandu kereta ke tempat kerjanya, terkorban selepas kontena yang dibawa sebuah lori treler terjatuh dan menghempap ​​kenderaannya.

Difahamkan, mangsa ketika itu sedang menunggu di lampu isyarat Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah apabila lori treler yang datang dari arah bertentangan membelok tajam ke kiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontena jatuh treler, hempap pemandu wanita di simpang lampu isyarat

ARTIKEL BERKAITAN: Kontena hempap kereta: Pemandu treler direman 4 hari

Kereta mangsa remuk teruk akibat dihempap kontena dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan, dengan seorang lagi pemandu cedera dan dibawa ke hospital.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Tan Chou Theng, 25, diselamatkan oleh orang awam sebelum penyelamat tiba di tempat kejadian.

Berkongsi lebih lanjut, Lim berkata dia sering berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa menghantar mesej jika mahu memaklumkan perkara yang tidak penting.

"Jika mereka telefon, bermakna ada kecemasan. Jadi apabila Zi Rou telefon, saya berasa takut," katanya sebak.

Lim berkata, sejurus menerima panggilan tersebut, dia segera memberitahu anak perempuannya yang lain untuk segera membawanya lalu di laluan yang biasa dilalui Zi Rou ke tempat kerja.

Dalam pada itu, Lim berkata cubaannya menghubungi Zi Rou gagal kerana tidak dijawab.

Bagaimanapun, katanya, seorang lelaki akhirnya mengangkat telefon dan memberitahunya Zi Rou terbabit dalam kemalangan dan berkongsi lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, dia merayu-rayu memohon orang ramai membantu menyelamatkan anak perempuannya.

"Tetapi ia agak mustahil. Kontena itu terlalu berat.

"Anak saya menelefon pada pukul 9.24 pagi dan dia meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi," katanya.

Susulan kemalangan maut itu, pemandu treler berkenaan direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap lelaki tempatan berusia 51 tahun itu yang bermula Khamis sehingga Ahad, dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris sebelum ini berkata, pemandu itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen memandu antara 10 dan 20 tahun. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain