suria

Ucapan selamat pagi dalam grup famili rupanya mesej terakhir, adik imbas detik lihat kakak terkulai dihempap kontena

Ahli keluarga Lee Zi Rou (gambar kecil) tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual. -Foto China Press

PEMANDU wanita yang maut selepas keretanya dihempap kontena pada Rabu, sempat berkongsi mesej ucapan selamat pagi menerusi grup chat keluarganya, pada hari kejadian.

Menulis di platform media sosial Xiaohongshu, Lee Zi Qi yang merupakan adik kepada mangsa, Lee Zi Rou, berkata kakaknya adalah seorang yang sangat mengambil berat dan penyayang sehingga dianggap seperti kakak sulung.

"Walaupun dia anak kedua, dia sering mengambil peranan sebagai 'kakak' dan menjaga seluruh keluarga," tulis Zi Qi, menurut laporan China Press.

Tambah Zi Qi, kakaknya juga baru menyambut hari jadi ke-21 pada Jun lalu.

Mengimbas kembali tragedi menyayat hati yang menimpa kakaknya, Zi Qi berkata dia dan ahli keluarga bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima perkhabaran mengenai kemalangan yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mummy! Sakit sangat!” - Pemandu dihempap kontena sempat telefon ibu 4 minit sebelum meninggal

"Kami bergegas ke tempat kejadian dan melihat sendiri kakak di dalam kereta dengan kontena yang menghempap tempat duduk pemandu.

"Dia tidak diselamatkan untuk masa yang agak lama, dan ia benar-benar menyayat hati," katanya.

tambahnya lagi, selepas menunggu agak lama, kren akhirnya tiba untuk mengangkat kontena.

"Mujurlah kakak tidak menderita terlalu lama, dan tubuhnya masih sempurna.

"Itu sahajalah yang membuatkan kami sekeluarga lega," katanya lagi sambil menambah, kakaknya sering merakam momen indah keluarga tetapi jarang merakamkan gambar sendiri.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi Rabu, Zi Rou yang bersendirian memandu kereta ke tempat kerjanya, terkorban selepas kontena yang dibawa sebuah treler tumbang dan menghempap ​​kenderaannya.

Difahamkan, mangsa ketika itu sedang menunggu di lampu isyarat Jalan Kebun Sireh-Jalan Bukit Tengah apabila treler yang datang dari arah bertentangan membelok tajam ke kiri.

Kereta mangsa remuk teruk akibat dihempap kontena dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan, dengan seorang lagi pemandu cedera dan dibawa ke hospital.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Tan Chou Theng, 25, diselamatkan oleh orang yang lalu-lalang sebelum penyelamat tiba di tempat kejadian.

Susulan kemalangan maut itu, pemandu treler berkenaan direman empat hari bagi membantu siasatan. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain