BELUM reda nahas treler, berlaku lagi kemalangan membabitkan kenderaan itu sehingga mengakibatkan seorang maut dalam kejadian di Kilometer 69.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Machap, Johor, awal pagi Jumaat. Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Abd Rahim Razali berkata, insiden dilaporkan berlaku pada pukul 7.43 pagi dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Renggam tiba di tempat kejadian pada 8.36 pagi selepas menerima panggilan kecemasan. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menurut beliau, penunggang motosikal berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi nahas. "Kejadian melibatkan sebuah lori treler, sebuah kereta Honda Civic dan sebuah motosikal Yamaha MT09. "Penunggang motosikal berusia 33 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: “Mummy! Sakit sangat!” - Pemandu dihempap kontena sempat telefon ibu 4 minit sebelum meninggal ARTIKEL BERKAITAN: Ucapan selamat pagi dalam grup famili rupanya mesej terakhir, adik imbas detik lihat kakak terkulai dihempap kontena Abd Rahim berkata, dua lagi mangsa yang cedera merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Honda Civic. "Seorang tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh PKO, manakala seorang lagi penumpang dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian. Keadaan motosikal yang terbabit dalam kemalangan. Sementara itu, Abd Rahim memaklumkan bahawa pemandu treler iaitu lelaki berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Terdahulu, kemalangan membabitkan sebuah treler yang mengakibatkan kontena yang dibawa terbalik dan menghempap sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pada pagi Rabu. Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu kereta yang merupakan wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian. Susulan itu, pemandu treler berusia 51 tahun direman selama empat hari bermula Khamis sehingga Ahad bagi membantu siasatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube