SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya. Lee Hao Yi, 21, mengangguk faham apabila pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif pada Jumaat. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mengikut kertas pertuduhan, Lee didakwa menyebabkan kematian Lee Huey Ting, 54, antara 6 November pukul 1 pagi dan 10 November pukul 8.25 pagi di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, Kinta di Ipoh. Tiada jaminan ditawarkan, manakala sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 18 Februari 2025. Pada Isnin lalu, Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat pada sidang media berkata, tertuduh dipercayai menyebabkan kematian ibu saudaranya, yang mana mayatnya sudah reput kemudian ditemukan di sebuah rumah di Ipoh, pada Ahad lalu. Beliau berkata, tertuduh mendakwa hilang sabar terhadap mangsa kerana mengongkongnya dan menyerang mangsa sebelum menyimpan mayatnya di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang di Ipoh. "Mereka tinggal bersama. Suspek hilang sabar, marah dan menumbuk wanita itu berulang kali sehingga terjatuh dari tangga," katanya lagi. Menurut Zulkafli, tertuduh menyangka ibu saudaranya hanya tidak sedarkan diri, mayat wanita itu kemudian dimasukkan ke sebuah bilik, dan ditemukan mati oleh polis pada Ahad selepas menerima panggilan kira-kira 8.30 pagi oleh abang mangsa. Jelas beliau, mayat mangsa dipercayai menjadi reput selepas disimpan di dalam bilik berkenaan selama empat hari. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube