suria

Pemandu treler punca nahas 3 kenderaan hingga maut ditahan, tak alami sebarang kecederaan

Keadaan di lokasi kejadian di Kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) Simpang Renggam-Machap.

POLIS menahan pemandu treler yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) Simpang Renggam-Machap, pagi Jumaat.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin, pemandu treler berusia 40 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata nahas dipercayai berlaku apabila pemandu treler tersebut gagal mengawal kenderaannya dan merempuh pembahagi tengah lebuh raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi nahas treler! Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan 3 kenderaan

Ketika kejadian, treler yang membawa kontena muatan baja dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menuju ke Johor Bahru.

Apabila tiba di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan kontena yang dibawa tertanggal hingga memasuki laluan bertentangan.

Pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki sepasang suami isteri bersama seorang anak, dan sebuah motosikal Yamaha MT09 ditunggang lelaki berusia 33 tahun dari arah bertentangan tidak sempat untuk mengelak menyebabkan masing-masing merempuh kontena berkenaan.

Akibat rempuhan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta serta isterinya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Sementara itu, bayi pasangan berkenaan yang berusia setahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain