PIHAK berkuasa giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Bandar Baru Uda, Tampoi, Johor, pada Jumaat. Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, kejadian melibatkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu berlaku pada pukul 3.51 petang. “Budak lelaki itu bermain berhampiran longkang bersama dua rakannya berusia tujuh dan lapan tahun apabila dilaporkan tergelincir ke dalam air. “Dia kali terakhir dilihat dibawa arus menuju ke kawasan saliran yang lebih besar berhampiran pasar raya Warda Mart,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Tambahnya, pasukan kecemasan termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melancarkan operasi mencari bersama. “Pos arahan telah ditubuhkan di tempat kejadian untuk menyelaraskan usaha yang meliputi kawasan longkang dan sungai berhampiran,” katanya. Tambahnya, kes itu dikendalikan di bawah laporan orang hilang dan polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu dalam pencarian. Sehubungan dengan kejadian itu, Balveer turut mengeluarkan peringatan kepada ibu bapa supaya memantau dengan teliti anak-anak mereka, terutamanya semasa musim tengkujuh, dan menjauhkan mereka daripada kawasan berbahaya seperti sungai dan longkang. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube