POLIS mengambil keterangan 18 individu termasuk jurupandu susulan kejadian lemas membabitkan tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) semasa melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, petang Jumaat. Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, tindakan tersebut bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian. Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai individu untuk memberi keterangan. ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi water rafting... Tiga peserta ‘team building’ JKR mati lemas, hanyut 4 kilometer Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat memaklumkan bahawa, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati lima buah bot yang dinaiki 21 peserta bersama lima jurupandu telah berlepas dari sungai berhampiran ke sebuah resort. Namun sebuah lagi bot yang dinaiki tujuh peserta telah terbalik semasa menjalankan aktiviti water rafting dan mengakibatkan semua peserta hanyut. Bagaimanapun, hanya empat daripadanya berjaya diselamatkan manakala tiga peserta terkorban. Untuk rekod, tiga peserta yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, maut selepas lemas ketika melakukan aktiviti berakit redah jeram di Sungai Kampar di Gopeng. Laluan water rafting adalah sepanjang enam kilometer dan mangsa dihanyutkan kira-kira empat kilometer. Dua mangsa berjaya dinaikkan di tebing berhampiran Kampung Pintu Padang iaitu seorang lelaki dan seorang wanita manakala mangsa ketiga pula dinaikkan berhampiran River Park. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube