suria

Perompak maut ketika pecah rumah, cedera parah di lengan... 2 rakan ditahan, seorang lagi suspek masih bebas

Lokasi salah seorang suspek pecah rumah yang ditemukan maut.

KEJADIAN pecah rumah di Jalan Laksamana, Sunrise Park, di Kluang, Johor bertukar maut apabila seorang suspek ditemui mati di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada petang Jumaat itu, polis turut menahan dua individu dipercayai rakan suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, polis telah menahan dua individu, manakala seorang lagi suspek masih bebas.

Menurutnya, kejadian pukul 7.12 malam itu diketahui selepas seorang lelaki tempatan memaklumkan tentang kejadian pecah masuk rumah.

Susulan itu, katanya, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bertindak pantas ke lokasi kejadian.

“Dua suspek ditahan dalam operasi itu, manakala seorang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati si mati mengalami kecederaan parah di lengan kanan, mungkin melibatkan saluran darah utama.

“Polis sedang meneliti sama ada kecederaan berpunca daripada pagar besi atau objek lain semasa cubaan pecah masuk atau melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Nik Mohd Azmi menambah, suspek keempat dikenali sebagai Mohamad Saahli Talib, 39, masih bebas.

“Alamat terakhir yang diketahui ialah di Kampung Belukar Gunong, Bachok, Kelantan, dan polis sedang giat mengesan,” katanya.

Keempat-empat suspek, berusia antara 29 dan 48 tahun, mempunyai rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan berkaitan dadah.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Nik Mohd Azmi turut berkongsi bahawa kematian suspek dianggap sebagai kes kematian mengejut, dengan bedah siasat dijadualkan untuk menentukan punca tepat dan jenis kecederaan.

Polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai terdekat atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7766822. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain