POLIS menerima satu laporan daripada seorang petugas syarikat penerbangan berkaitan pergaduhan yang berlaku pada Ahad. Menurut Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Azman Shari'at, kejadian berlaku akibat selisih faham petugas syarikat penerbangan dengan seorang penumpang. "Pergaduhan berpunca dari kelewatan mendaftar masuk untuk penerbangan. Akibat perselisihan faham tersebut telah berlaku pergaduhan kecil dan petugas mendapat kecederaan ringan," katanya dalam satu kwnyataan pada Sabtu. Susulan pergaduhan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sejak pagi Sabtu, tular video memaparkan kekecohan berlaku di KLIA dengan dua lelaki bergelut bertengkar di hadapan sebuah kaunter. Video pergaduhan itu dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian. Menerusi video 31 saat itu, kelihatan seorang lelaki berbaju warna hijau menghayun penumbuk kepada lelaki memakai baju biru gelap. Selepas dipukul, lelaki yang menerima tumbukan itu mula menunding jari ke arah individu berkenaan sambil memaki hamun. Namun, tidak dapat dipastikan butiran perbualan antara kedua-dua individu tersebut. Kekecohan yang berlaku pada ketika itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh pihak berkuasa yang bertugas di lapangan berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube