suria

Pemandu e-hailing berdepan detik cemas, kereta terbabas ke dalam tasik

Mangsa berjaya diselamatkan menggunakan bot berhampiran.

SEORANG pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam tasik berhampiran pusat beli belah The Mines, di Serdang, Selangor, pada Jumaat.

Ketika kejadian, dia dipercayai dalam perjalanan untuk mengambil penumpang.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, insiden kejadian berlaku di laluan berhampiran The Heritage membabitkan seorang pemandu wanita kira-kira pukul 3.30 petang.

"Ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan untuk mengambil penumpang di Aestetica Residence di mana keadaan ketika itu hujan lebat.

"Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa mendakwa keadaan air bertakung dan cuaca hujan membuatkan dia tidak perasan lalu tiba-tiba terbabas ke dalam tasik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anbalagan berkata, wanita berusia 49 tahun itu bagaimanapun sempat keluar melalui tingkap bahagian pemandu sebelum kereta berkenaan tenggelam sepenuhnya.

Jelas beliau, tidak lama kemudian mangsa diselamatkan oleh sebuah bot yang berada di kawasan tasik terbabit.

Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 23 saat yang memaparkan kejadian itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain