PASANGAN suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka, dirempuh kereta yang dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di Jalan Mesjid Pasir Gudang, Johor. Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Alza yang memandu dari Jalan Besar menghala Lebuhraya Pasir Gudang didapati melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal. Pada masa tersebut, mangsa turut meneruskan perjalanan dari Jalan Mesjid ke Bandar Pasir Gudang sebelum berlaku kemalangan. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal iaitu lelaki, 37, dan pembonceng wanita, 35, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. "Pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun telah ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan. "Saringan air kencing yang dilakukan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad. Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu semasa di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube