suria

Penagih pandu Myvi terbabas, rempuh Honda City... Wanita maut di tempat kejadian

Kemalangan melibatkan dua buah kereta bertembung menyebabkan seorang wanita maut.

SEORANG wanita maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan dipandu lelaki berada di bawah pengaruh dadah, dalam kejadian petang Ahad.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh, mangsa Norra Zafidah Ahmad Zaibidin, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Md Sani berkata, mangsa bersama tiga lagi individu termasuk pemandu berusia 62 tahun menaiki kereta jenis Honda City dari arah Kuala Terengganu menghala ke Bachok, Kelantan sebelum terbabit kemalangan di Kampung Benting Lintang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba- tiba sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 26 tahun telah terbabas lalu masuk ke laluan kereta Honda City menyebabkan keduanya bertembung.

"Ketika itu, Perodua Myvi yang turut membawa seorang penumpang lelaki berusia 20 tahun dari arah Kampung Raja menghala ke Setiu," katanya pada Isnin.

Jelasnya lagi, nahas itu turut menyebabkan pemandu Perodua Myvi cedera parah di kepala dan bahagian abdomen.

"Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri, dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut manakala mangsa kemalangan yang lain dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini, mangsa lain yang terlibat kemalangan dilaporkan dalam keadaan stabil,"katanya.

Tambah Md Sani, ujian saringan awal sampel darah pemandu Perodua Myvi itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Pihak polis juga ingin menasihati para pengguna jalanraya supaya berhati-hati semasa memandu.

"Sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan," ujar beliau.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain