LELAKI warga tempatan yang mata kirinya dikorek seorang warga asing dalam insiden pergaduhan pada Sabtu lalu, berkemungkinan akan mengalami kecacatan kekal. Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, mata kiri mangsa yang berusia 52 tahun itu tidak dapat diselamatkan akibat insiden berkenaan. Ujarnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Bebola mata kiri lelaki terkeluar, dikorek warga asing dalam pergaduhan "Bebola matanya sudah terkeluar dan dia mungkin cacat kekal," katanya kepada media pada Isnin. Dalam pada itu Hamzah berkata, ketika kejadian juga mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk dan hasil semakan mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang berhampiran Flat Rathina, Tasek Gelugor, Sabtu lalu, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek yang berakhir dengan pergaduhan. Difahamkan, kejadian berpunca daripada tindakan mangsa yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk, mengganggu suspek. Suspek yang berang diganggu didakwa memukul dan mencederakan mangsa. Suspek yang berusia 28 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube