suria

Malaysia dijangka berdepan lebih 80,000 kematian akibat jangkitan AMR menjelang 2030

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk menangai ancaman Kerintangan Antimikrob.

LEBIH 80,000 rakyat Malaysia dijangka berdepan dengan risiko kematian akibat Kerintangan Antimikrob (AMR) atau dipanggil jangkitan 'kuman super' menjelang 2030, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan berkata unjuran tersebut dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan langkah intervensi perlu diambil untuk menangani ancaman berkenaan.

Dr Dzulkefly berkata angka itu adalah berdasarkan laporan WHO melalui kajian yang dijalankan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO).

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! Kedai dobi, tempat kerja kawasan baharu larangan merokok

"Sebagai contoh, data unjuran meramalkan 87,000 kematian di Malaysia akibat AMR antara 2020 dan 2030 daripada 33 juta penduduk.

"Seramai 296,581 orang diunjurkan mati akibat jangkitan AMR di Vietnam daripada populasi 98 juta dalam tempoh yang sama," katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024, di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, rantau Pasifik Barat akan menyaksikan kira-kira 5.2 juta kematian akibat jangkitan AMR menjelang 2030.

Dr Dzulkefly menegaskan, AMR bukan sahaja boleh menyebabkan kematian tetapi juga memusnahkan ternakan dan ekonomi negara.

Beliau berkata WHO juga mengunjurkan rantau itu akan mengalami kerugian ekonomi kira-kira RM662 bilion (AS$148 bilion) akibat kes AMR sekiranya tidak dikawal, sambil menambah, kesedaran dan pendidikan adalah penting dalam meminimumkan peningkatan jangkitan tersebut.

Bagaimanapun ujar beliau, Malaysia telah mengambil langkah proaktif melalui Pelan Tindakan Kerintangan Antmikrob Kebangsaan 2022-2026 yang memberi tumpuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan, memperkukuh aktiviti pengawasan dan penyelidikan, meningkatkan pencegahan dan kawalan infeksi, serta mempromosikan penggunaan antimikrob secara bertanggungjawab. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain