PEMANDU yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Selasa. Bagaimanapun tertuduh, P. Kuhan Raj, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Haneefa Ariffin. Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu keretanya jenis BMW pada kelajuan tinggi dan menyebabkan kematian Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid, yang membonceng motosikal bapanya, di Lebuhraya Bukit Jalil menghala ke Puchong pada 9.50 malam, 15 November lalu. Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara lima hingga 10 tahun jika sabit kesalahan. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga nyaris maut... Pemandu lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam Inderpal Singh meminta jumlah jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya menyara isteri, anak dan ibu bapanya. Haneefa kemudian menetapkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung serta-merta hingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 21 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas motosikal yang dibonceng bersama ibu bapanya dirempuh dari belakang. Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Video kemalangan yang dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain menjadi tular di laman sosial. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube