suria

Kanak-kanak maut, kereta dinaiki 8 sekeluarga terlibat nahas treler

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler. Foto JBPM

SEORANG kanak-kanak maut manakala tujuh ahli keluarganya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas membabitkan sebuah treler di Kilometer (KM) 148.1, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Bukit Gambir, Muar, pada Rabu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 2.59 petang dan segera mengerahkan enam anggota bomba dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender Tender (LFRT) dari Balai Bomba Bukit Gambir ke tempat kejadian.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Syukor, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian yang melibatkan sembilan mangsa, pada pukul 3.17 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi nahas treler! Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan 3 kenderaan

ARTIKEL BERKAITAN: “Mummy! Sakit sangat!” - Pemandu dihempap kontena sempat telefon ibu 4 minit sebelum meninggal

"Terdapat lapan mangsa di dalam kereta itu - tiga lelaki, seorang wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala treler itu dipandu seorang lelaki.

"Bagaimanapun, salah seorang mangsa yang menaiki kereta iaitu seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia tiga tahun meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Tambah Jahairi, tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan akibat kejadian itu dan dihantar ke hospital berhampir untuk menerima rawatan, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota bomba berjaya menarik mangsa keluar dari kereta kerana tiada seorang pun daripada mereka tersepit di dalam kenderaan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada 3.44 petang. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain