suria

Khalwat kali ketiga, bapa 5 anak individu pertama dihukum sebat di khalayak ramai

Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas dakwaan melakukan kesalahan khalwat berulang. Foto Sinar Harian

SEORANG bapa kepada lima anak menjadi lelaki pertama dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid di Terengganu pada 6 Disember ini atas kesalahan khalwat berulang.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh berusia 42 tahun, mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.

Memetik laporan Sinar Harian, mahkamah pada Rabu memerintahkan hukuman sebatan itu dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu pada 6 Disember selepas solat Jumaat sebaik tamat tempoh rayuan.

Tertuduh yang merupakan tukang rumah didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain itu, tertuduh yang juga seoranf duda Tertuduh turut dikenakan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat dengan seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman, pada pukul 1.40 pagi 16 Jun lalu.

Hukuman sebat dikenakan terhadap tertuduh berikutan ia merupakan kesalahan ketiga tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai tahun lalu, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.

Tertuduh kemudian didakwa lagi melakukan kesalahan sama pada 25 Januari lalu, sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari lalu menjatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Untuk rekod, tertuduh sebelum ini merupakan pesalah khalwat pertama di Terengganu yang dikenakan sebatan di Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan