RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) yang tular membawa kepada penahanan seorang duda yang didakwa mencabul seorang wanita di Kluang, Johor. Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, insiden berlaku pada kira-kira pukul 8.57 pagi Isnin lalu. "Mangsa, yang merupakan wanita warga tempatan sedang berjalan ke tempat kerjanya di Jalan Gunung Lambak di Kluang sebelum seorang lelaki tidak dikenali menunggang motosikal ke arahnya. "Rakaman CCTV menunjukkan suspek mendekati mangsa dari arah belakang dan meraba punggungnya," katanya pada Rabu. Menurut Bahrin, berdasarkan maklumat, polis menahan suspek berusia 30an, kerana didakwa terlibat dalam insiden tersebut. "Semakan mendapati suspek yang merupakan penganggur adalah duda dan tinggal bersama ibu dan adik-beradiknya. "Siasatan lanjut turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing disahkan negatif," katanya. Bahrin turut memberitahu, suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan atau menghubungi hotlian polis Kluang 07-7766822. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube