SEORANG guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Baharu terhadap tujuh pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual ke atas seorang bekas pelajar perempuan. Tertuduh, Mohd Zulkarnain Mohd Zin, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman pada Isnin. Menurut kertas pertuduhan, tertuduhan didakwa merogol dan melakukan serangan seksual ke atas mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun, dan kini 15 tahun. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik stor di sebuah sekolah agama di Skudai, antara pukul 3.30 petang dan 4.30 petang antara Disember 2023 dan Ogos tahun ini. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual terhadap mangsa, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat. Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili Iskandar Shah Ibrahim. Semasa prosiding, Nur Farah memohon mahkamah supaya mengenakan jaminan berjumlah RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tujuh pertuduhan. Terdapat syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu saksi dan mangsa, perlu melapor diri di Balai Polis berhampiran sebulan sekali serta pasport antarabangsa diserahkan pada mahkamah. Peguam tertuduh kemudian memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM30,000 berikutan tertuduh merupakan penjawat awam dengab pendapatan RM3,000 sebulan. Hakim kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM35,000 dengan seorang penjamin serta syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan pada mahkamah. Mahkamah turut menetapkan 30 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes. -The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube