suria

Kementerian Perpaduan perkukuh keharmonian negara, lebih 300 program berimpak tinggi beri manfaat kepada rakyat Malaysia

Konsep 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' menekankan pentingnya menjaga keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Foto ZHAFARAN NASIB (SMG)

DASAR Perpaduan Negara (DPN) adalah dasar utama yang bertujuan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, memelihara keharmonian serta memperkukuhkan integrasi sosial dalam masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.

Konsep 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' yang menjadi teras dasar ini, menekankan pentingnya menjaga keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, DPN menetapkan hala tuju perpaduan negara, sekali gus bertindak sebagai pemangkin bagi pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni, dan makmur.

Jelasnya, pencapaian yang diraih kementerian sepanjang 2024 bagi memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia, melalui pelbagai program dan inisiatif yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

Komuniti Rahmah

Menurut Aaron, fokus kementerian adalah untuk mewujudkan platform dan tapak integrasi yang dapat meningkatkan interaksi sosial antara rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya.

Aaron Ago Dagang berkata, pelbagai pencapaian diraih Kementerian Perpaduan Negara sepanjang 2024.

Aaron Ago Dagang berkata, pelbagai pencapaian diraih Kementerian Perpaduan Negara sepanjang 2024.

Justeru itu katanya, sepanjang 2024 pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat berkenaan.

"Kementerian melalui kesemua agensi telah berjaya melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi yang berteraskan kepada kluster Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah," katanya.

Pada 2024, Kementerian Perpaduan Negara mencatatkan beberapa pencapaian utama dalam Komuniti Rahmah, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan hidup dan integrasi sosial masyarakat.

Antara pencapaian utama tersebut adalah pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif, iaitu kementerian telah memperkenalkan model KRT Progresif yang menekankan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

"Sebanyak 152 KRT dijadikan model, dengan bantuan kewangan, teknikal, peralatan dan latihan serta bimbingan diberikan untuk membantu komuniti mengurangkan kos sara hidup," katanya.

Bagi Skim Rondaan Sukarela (SRS), kementerian menyediakan peruntukan kira-kira RM3.2 juta untuk meningkatkan keselamatan dan kemudahan di SRS. Ini termasuk pembekalan fasiliti keselamatan dan kabin baru, serta pembaikan kabin sedia ada.

"Menerusi Mediator Komuniti pula, seramai 571 Mediator Komuniti bertauliah bersedia untuk memberikan perkhidmatan percuma bagi membantu menyelesaikan pertikaian dan konflik dalam komuniti.

"Manakala Pusat Mediasi Komuniti membantu menyelesaikan konflik di peringkat akar umbi. Pada 2024, perkhidmatan ini diperluaskan ke beberapa pusat baharu di beberapa negeri," tambahnya.

xxxx - 1

Konvensyen Mediasi Komuniti yang bertemakan "Mediator Komuniti: Pemangkin Keharmonian Negara memperkukuh peranan Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat.

Aaron berkata, menerusi Cilik Perpaduan, sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk meningkatkan kemudahan di Tabika dan Taska Perpaduan.

"Inisiatif ini termasuk penyediaan buku aktiviti, kit permulaan, insurans kemalangan, bantuan makanan tambahan, dan geran perkapita untuk pengurusan kelas. Penyeragaman langganan internet di 1,822 tabika dan taska juga berjaya menjimatkan hampir RM1 juta setahun.

"Selain itu, menerusi Biasiswa Tunku Abdul Rahman, sebanyak 29 biasiswa diberikan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti awam atau swasta dalam pelbagai bidang," ujar beliau.

Semarak Perpaduan

Dalam Semarak Perpaduan, Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan pelbagai program yang bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan, integrasi sosial dan kesedaran masyarakat tentang kepelbagaian budaya di Malaysia.

"Antara pencapaian utama pada 2024 adalah Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru. Sambutan ini bertujuan untuk memupuk perpaduan dan integrasi melalui pendekatan terpilih dan cekap sehingga ke peringkat akar umbi.

"Menerusi Liga Sukan Uniti pula Karnival Liga Sukan Uniti peringkat Kebangsaan 2024 mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan hampir 23,000 peserta membabitkan 2,300 pasukan di seluruh negara," katanya.

Bola Jaring antara sukan yang dipertandingkan dalam Karnival Liga Sukan UNITI Peringkat Kebangsaan 2024. Foto Facebook Kementerian Perpaduan Negara

Bola Jaring antara sukan yang dipertandingkan dalam Karnival Liga Sukan UNITI Peringkat Kebangsaan 2024. Foto Facebook Kementerian Perpaduan Negara

Bagi Inisiatif Harmoni Madani, beliau berkata pada April 2024, kementerian melancarkan Inisiatif Harmoni MADANI dengan mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu Faham, Hormat dan Terima.

"Antara program yang diadakan adalah Sambutan Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia, Jejak HARMONI, Wacana atau Dialog Harmoni, Podcast Bicara HARMONI, Sambutan Hari Toleransi Sedunia dan Dokumentari HARMONI.

"Manakala untuk Misi Sukarelawan Siswa, ia berteraskan kepada enam teras kesukarelawanan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) iaitu perpaduan dan pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti, kesihatan dan kesejahteraan, transformasi digital, ketahanan terhadap impak perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar serta mobilisasi impak sosial," katanya.

Selain itu, Aaron memaklumkan bahawa menerusi Citra Nusa Muzium, sebanyak 9 program dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang bertujuan untuk penghayatan masyarakat kepada kepelbagaian warisan negara.

Antara program tersebut adalah Festival Hari Muzium Antarabangsa, Citra Nusa Melaka, Persidangan Antarabangsa: Sejarah Kedah Tua Berdasarkan Catatan Yi-Jing dan Program Bermalam di Muzium.

Jelas beliau, statistik pelawat muzium-muzium di bawah JMM dari 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024 adalah seramai 1,602,449 orang.

Sementara itu katanya, Karnival Baca Perdana pula merupakan program yang julung kali diadakan kementerian menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Menurut Aaron, program tersebut berlangsung selama sebulan sepanjang Oktober, bertemakan ‘Perpaduan Melalui Pembacaan’.

"Kita juga menganjurkan Program Galakan Membaca dengan menyokong matlamat Dasar Buku Negara iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad beramah mesra dengan pelajar ketika Karnival Baca Perdana. Foto Facebook Kementerian Perpaduan Negara

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad beramah mesra dengan pelajar ketika Karnival Baca Perdana. Foto Facebook Kementerian Perpaduan Negara

Bukan sekadar itu, kementerian turut menganjurkan Program Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita untuk meningkatkan lagi pengetahuan kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah negara ini melalui kepelbagaian budaya di Sabah yang unik dan mempunyai nilai estetika.

Menariknya, pameran ini menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) dengan tajuk ‘First Digital Library Exhibition Aboard A Train’ sebagai program pameran digital pertama dalam kereta api di Malaysia.

Seterusnya, Aaron berkata, FoodUnites turut dianjurkan dengan program berteraskan warisan tradisional makanan yang mampu mewujudkan tapak integrasi kaum serta mengangkat keunikan dan kepelbagaian makanan.

"Selain itu, Friends of Unity (FOU) iaitu inisiatif kementerian bagi mengukuhkan kolaborasi strategik bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan agenda perpaduan melalui pelaksanaan program perpaduan di peringkat komuniti, daerah dan negeri serta program utama kementerian," tambahnya.

Semarak Kenegaraan

Bagi pencapaian berikutnya, Aaron berkata, pelbagai kecemerlangan diraih menerusi Semarak Kenegaraan sepanjang 2024.

"Antaranya menerusi Penghayatan Rukun Negara. Kementerian melaksanakan pelbagai program seperti Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan, Lafaz Ikrar Rukun Negara di Parlimen Malaysia buat julung kalinya, Eksplorasi Rukun Negara, Pemberian Geran Aktiviti RM3,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara.

"Selain itu, turut diadakan Pertandingan Mural Rukun Negara Peringkat Sekolah, Program Raja Kita Payung Kita, Program Jalinan Integrasi Mahasiswa, Ejen Perpaduan dan Kem Perpaduan Anak Malaysia," katanya.

Beliau menambah, Bahasa Kolokial turut dilaksanakan dengan sebanyak 11 siri sejak 2023 bagi mengangkat peranan bahasa sebagai ejen perpaduan.

Antara pameran yang diadakan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menarik perhatian masyarakat.

Antara pameran yang diadakan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menarik perhatian masyarakat.

Turut diadakan adalah Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024. Ia bermatlamat mengumpulkan dan mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya ia kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.

"Menerusi Negarawan Kita, program ini merupakan usaha mengenang jasa serta mendidik generasi muda berhubung jasa negarawan. Kementerian mengadakan Program Mengenang Jasa Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Tun Jugah,” katanya.

Bagi Semarak Muzium, beliau berkata, lebih tujuh program berbentuk festival diadakan dalam usaha merapatkan muzium dan masyarakat awam.

Antara program tersebut ialah Semarak Muzium Automobil Nasional, Semarak Muzium Kota Kayang dan Semarak Muzium Sungai Lembing.

Dalam pada itu, Aaron turut menyatakan bahawa kementerian mengadakan Persidangan Manuskrip Melayu dengan tema ‘Kitab Tib: 1001 Rahsia Ilmu Perubatan Tradisional’.

"Ia merupakan sebuah penerbitan iaitu e-Bibliografi Beranotasi Manuskrip Melayu Kitab Tib: Khazanah Kebitaraan Warisan Bangsa.

“Ia diterbitkan secara dalam talian sempena PAMM 2024 dalam bentuk flipbook dan memuatkan 112 deskripsi manuskrip Melayu kitab tib yang terdapat dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia.

"Kita juga menganjurkan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional (KSPN) dan hasil resolusi program ini adalah cadangan penubuhan Majlis Sejarawan Negara," katanya.

Dengan segala pelaksanaan program dan inisiatif pada 2024 yang dibuat berdasarkan tiga objektif yang digariskan dalam DPN, bagi mencapai tiga objektif yang seharusnya diberikan perhatian khusus oleh Kementerian Perpaduan Negara mahupun agensi-agensi di bawahnya.

“Ia dapat mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional, membentuk identiti nasional serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” kata Aaron.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain