LAPORAN khas bersiri yang disiarkan mStar melakar sejarah apabila portal ini dipilih sebagai pemenang tempat kedua pada malam Anugerah Media Pembinaan (AMP) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 2024 yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada Selasa. Kemenangan itu melayakkan penulisnya, Iwan Shu-Aswad Shuaib dan Nazwin Izan Ahmad Nazri membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan. Mengangkat isu lambakan warga asing, laporan khas ini mengupas dan merungkai faktor yang membawa kepada lambakan pekerja binaan asing serta kesannya dalam industri pembinaan di negara ini. Laporan itu turut membentangkan pandangan anak syarikat CIDB iaitu Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) yang berpengalaman selama 20 tahun mengenai kesediaannya untuk menguruskan kemasukan pekerja binaan asing ke negara ini secara berpusat dan bersepadu. Dalam pada itu Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, pencapaian itu menepis pandangan netizen yang seolah-olah melihat portal ini hanya menyajikan kandungan berbentuk sensasi hiburan semata-mata. Sebaliknya, kandungannya menyeluruh merangkumi pelbagai segmen termasuklah berita, gaya hidup, serta laporan khas yang bertujuan memberi kepelbagaian maklumat kepada pembaca. “Ramai orang menganggap kandungan mStar selama ini lebih mementingkan kisah sensasi artis. Mereka silap. Terdapat pelbagai segmen yang mampu memberi manfaat kepada pembaca. SMG merangkul lima anugerah pada malam Anugerah Media CIDB 2024. “Sayang sekali, segelintir pembaca hanya lebih memilih hiburan sebagai bahan bacaan utama tanpa meneroka secara mendalam kandungan lainnya yang memberi banyak info dan faedah tambahan,” katanya. Jelas Niezam, kemenangan ini merupakan satu pengiktirafan kepada pasukan mStar dalam usaha membuktikan tulisan mereka turut berperanan membina minda dengan penghasilan laporan eksklusif dan berkualiti. Sementara itu, Kumpulan Media The Star (SMG) turut menang besar apabila memenangi empat hadiah yang dipertandingkan. ARTIKEL BERKAITAN: Laporan berita dan dokumentari mStar menang Anugerah CIDB 2018 Editor eksekutif (reka bentuk kandungan) The Star Tung Eng Hwa, Abdul Razak Ahmad Idris, Muhammad Shyafiq Dzulkifli, Mohd Izudin Ismail dan Foo Chern Hwan memenangi tempat pertama bagi kategori Infografik Pegun menerusi laporan "Pulau Silikon Pulau Pinang." Penolong Editor Berita Pendidikan The Star, Rowena Chua meraih tempat pertama dalam kategori Anugerah Media Cetak dan Portal Berita – Rencana. Dalam kategori Anugerah Fotografi, jurugambar Mohd Faihan Mohd Ghani memenagi tempat kedua, manakala Art Chen Soon Ling pula dipilih sebagai pemenang tempat ketiga. Secara keseluruhan, SMG merangkul lima anugerah pada malam AMP 2024. AMP 2024 yang memasuki edisi ketujuh dianjurkan oleh CIDB Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), hasil kerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI). Pengiktirafan ini diberikan bagi menghargai karyawan-karyawan media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan melalui laporan berita sama ada di platform digital dan cetakan. Anugerah tersebut menampilkan tujuh kategori utama iaitu Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Laporan Khas Berita); Anugerah Media Cetak & Portal Berita (Rencana) Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Laporan Khas dan Dokumentari); Anugerah Media Penyiaran Radio, Anugerah Fotografi, Anugerah Infografik Pegun dan Anugerah Infografik Video. Ini merupakan kemenangan kedua mStar dalam Anugerah Media Pembinaan (AMP) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pada tahun 2018, mStar merangkul tempat kedua bagi kategori media elektronik dan penyiaran dalam talian (berita & dokumentari) menerusi video Meredah Jejambat Paling Gayat Di Malaysia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube