MENTERI Pertahanan, Khaled Nordin meluluskan syor terhadap lima pegawai kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk diberhentikan dan diarah membayar ganti rugi kerana terlibat dalam tiga kes penganiayaan. Perkara itu dimaklumkan ketika mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang pada Selasa. Tambah Khaled, langkah itu bagaimanapun tidak tertakluk tindakan lain diambil UPNM serta Jabatan Peguam Negara. “ALK mengesyorkan tindakan terhadap lima orang pelaku itu termasuklah pembatalan pelantikan sebagai PK, pemberhentian kerja daripada perkhidmatan tentera dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan yang dikira daripada perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian,” katanya. Khaled berkata, bagi kes pertama, pelaku Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan telah menekap seterika ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala, pada 28 Oktober. ARTIKEL BERKAITAN: Senior UPNM tak mengaku pijak junior guna ‘spike boot’ hingga retak tulang Menurutnya, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) itu dibatalkan pelantikan sebagai PK, selain perlu membayar ganti rugi RM44,600. “Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November dan prosiding masih berjalan,” katanya. Sebelum ini, mStar melaporkan mengenai pelatih tahun satu institusi berkenaan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang sejurus namanya dipanggil di tepi padang kawad pada 21 Oktober. Susulan kekerasan yang dilakukan, mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan dialami. Ini bukanlah kes pertama berlaku di UPNM kerana sebelum ini beberapa insiden berkaitan buli sehingga menyebabkan kematian berlaku di institusi berkenaan. Malah, kes terbaharu adalah membabitkan seorang pelajar senior dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior dengan menekap seterika wap panas pada dada kanan bulan lalu. Namun selepas pendakwaan, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube