PENIAGA sayur direman selama dua hari bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan tiga beranak di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Lerek, Setiu pada Isnin. Kejadian berlaku ketika empat sekeluarga ini dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di Putrajaya. Perintah reman sehingga Khamis itu dibenarkan Majistret Mahkamah Majistret Besut, Nurliyana Md Zukri bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pada Isnin, tiga beranak dilaporkan maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux. Kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu meragut nyawa Kamarudin Ibrahim, 55, isterinya, Maimunah Mat Isa, 54, dan anak kedua mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30 tahun. Semua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan. Anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi, 21 tahun, yang merupakan graduan Unitar itu pula cedera parah pada bahagian kaki dan tangan. Azwa yang masih belum sedarkan diri itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas selamat menjalani pembedahan kepala. Menurut abangnya, Ahmad Kamarul Syafieq,walaupun Azwa sudah sedar mereka belum bersedia memaklumkan berita kematian ibu bapa dan kakak kepadanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube